Gosip Artis Malaysia | Festival Rock Sabtu Ini Ditunda Hormati Hari Berkabung - KakiGosip! |
Festival Rock Sabtu Ini Ditunda Hormati Hari Berkabung - KakiGosip! Posted: 17 Aug 2014 09:30 PM PDT Penganjuran Festival Empire Rock 2014 yang dijadualkan berlangsung di Matic, Jalan Ampang Kuala Lumpur pada 23 Ogos (Sabtu) ini ditunda bagi menghormati jenazah mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dijangka tiba sehari sebelumnya. Pengarah Urusan Langkah Karya Production, Hazmimi Johar berkata, penundaan itu sebagai tanda simpati dan sedih terhadap kejadian menimpa mangsa dan ahli keluarga terlibat selain sama-sama ingin berkabung pada hari berkenaan yang diisytiharkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. "Pihak seketeriat festival berkenaan sebulat suara bersetuju menangguhkan penganjuran acara itu kerana menghormati Hari Berkabung Negara yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri. "Semua rakyat Malaysia bersedih atas kejadian menimpa pesawat MH17 dan kami sebagai penganjur merasakan tarikh berkenaan adalah tidak sesuai untuk mengadakan sebarang acara hiburan pada hari tersebut," katanya. Penganjuran Festival Empire Rock 2014 bertujuan menghimpunkan kumpulan muzik terbaik dari era 80-an hingga 90-an dalam membangkitkan semula kegemilangan genre tersebut dikalangan peminat terutamanya generasi muda itu bagaimanapun akan diteruskan pada 27 September dilokasi sama. Antara kumpulan rock yang dijangka akan mengadakan persembahan pada acara itu adalah Samudera, Junction, Sofea, Sejati dan Putera. Dalam pada itu, Hazmimi berkata, pihaknya juga akan menggabungkan festival berkenaan dengan penganjuran Karnival Pray For Gaza sebagai salah satu inisiatif bagi mengumpulkan dana untuk membantu rakyat Palestin yang dizalimi pihak Zionis. Menerusi karnival itu juga, pengunjung yang hadir dapat menghulurkan sumbangan selain menyatakan solidariti rakyat Malaysia terhadap pembebasan bumi Palestin daripada penjajahan Israel. "Ini ada peluang yang cukup baik untuk rakyat Malaysia khususnya peminat muzik rock bersama-sama menyatakan sokongan mereka terhadap Gaza dan atas dasar itu juga kami menukar festival ini menjadi lebih sesuatu yang bermakna. "Kutipan yang disumbangkan pengunjung itu nanti akan disampaikan kepada pihak Aman Palestin untuk diserahkan kepada masyarakat di Gaza," katanya. Sementara itu, Hazmimi berkata, Karnival Pray For Gaza akan diadakan pada hari sama bermula pukul 10 pagi manakala Festival Empire Rock 2014 berlangsung pada pukul 4.30 petang. Antara acara yang bakal diadakan adalah Battle of the Band, sesi karaoke, info terkini mengenai Gaza yang disampaikan oleh Duta Aman Malaysia, peraduan dan sesi artis bersama peminat. "Kami juga turut mengalu-alukan kedatangan semua aktivis pembebasan Palestin, penggiat kumpulan rock, rakan artis, peminat dan pihak media bagi sama-sama menyatakan sokongan terhadap Gaza dalam pada itu. |
Datin Azrene, bantu masyarakat cara tersendiri ~ KakiGosip! - <b>Gosip</b> <b>...</b> Posted: 16 Aug 2014 10:48 PM PDT KETIKA dipelawa oleh teman di meja hiburan untuk membuat temu janji mewawancara figura besar ini, saya segera memberikan persetujuan meski pun jadual begitu padat. Bagi saya, bertemu dengan Datin Azrene Soraya Abdul Aziz sekeluarga adalah suatu peluang besar untuk mengenali nama ini lebih dekat; berbanding hanya mengikutinya menerusi internet dan blog. Datin Azrene, isteri kepada selebriti terkenal program Masterchef, Datuk Fazley Yaakob tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Bertemu Datin Azrene dan Datuk Fazley membuka dimensi baru buat saya menilai sejauh mana kehidupan sebenar kedua-dua personaliti hebat ini. Ternyata kemasyhuran nama, bakat dan populariti dimiliki tidak membayangi kehidupan keluarga ini seperti mana anggapan klise kita yang memikirkan kemewahan dan status. Sikap Azrene khususnya; ramah dan penuh dengan senyuman, membuat saya tersedar betapa manis dan manjanya wanita berusia 30 an ini; tidak sebanding usia. Bertubuh genit dan berwajah comel, penampilan dan pembawakan watak yang beliau tonjolkan menarik perhatian saya. Mengenali Azrene dari sisinya sendiri cukup membuatkan saya kagum. Pendidikannya, perjalanan hidupnya, kariernya dan rumah tangganya; ada kisah tersendiri. Azrene merupakan perunding imej yang menjadi salah seorang panelis Bahagian Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK)/ National Occupational Skill Standard (NOSS) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Graduan Bachelor dan Master of Law dari Universiti Nottingham United Kingdom (UK) ini pernah berkhidmat sebagai seorang peguam yang menghabiskan kebanyakan masa mudanya dalam memperjuangkan hak asasi pelarian asing di UK dan London. "Dua tahun di Nottingham, saya bertugas sebagai peguam di sebuah firma dan bertanggungjawab mengendalikan kes- kes pelarian asing kanak-kanak dan wanita dari negara- negara seperti Iran, Iraq, India, Pakistan, Afghanistan, Angola, Burundi, Liberia, Egypt, Jamaica, Indonesia yang mempunyai masalah dari segi penyelewengan hak asasi kemanusiaan dibawah semua Fasa The European Convention of Human Rights. Selain itu, saya juga diberi kepercayaan untuk mengendalikan kes hak asasi banduan asing dari penjara kategori A hingga D. "Saya membantu dari segi hak asasi banduan asing yang telah salah disabitkan dan telah dibebaskan daripada penjara oleh kerajaan United Kingdom namun masih akan dibuang negara walaupun telah disahkan tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah agar mereka dapat kekal tinggal di UK di bawah Article 8: The Right to Respect for Private and Family Life, European Convention of Human Rights. "Kebanyakan banduan ini telah tinggal di sana melebihi 10 hingga 15 tahun dan dari sudut hak asasi mereka boleh dibantu agar dapat terus tinggal bersama-sama ahli keluarga mereka di sana. Kemudian saya berpindah ke London dan berkhidmat dalam perjuangan hak asasi pelarian dari negara Rusia (refugees) yang berprofil tinggi selain daripada menguruskan kes berkaitan warga European Union dan negara- negara asing lain mendapatkan hak kediaman dan kewarganegaraan," katanya lagi. Azrene kemudian dilamar sebuah syarikat guaman Amerika Syarikat yang mempunyai cawangan besar di di London, Jones Day untuk bertugas di bawah bahagian Hak Asasi Pekerja (Employment Law). Bagi Azrene, pengalaman sebagai peguam masih segar dalam ingatannya dan pasti menjadi kenangan indah yang tak mungkin dilupakan. Namun sebagai wanita, terbetik di hati untuk mengakhiri zaman bujang ketika usia menjengah 25 tahun. Dan siapa sangka, pertemuan tidak terduga antara beliau dengan penyanyi terkenal negara, Datuk Fazley ketika itu di The Royal Albert Hall, London mengetuk pintu hatinya. "Ia berlaku secara tak sengaja semasa menonton konsert Datuk Siti Nurhaliza. Saya fikir, dia salah seorang urusetia biasa konsert sedangkan dialah Pengerusi Eksekutif konsert tersebut. Maklumlah dah lama tak balik Malaysia jadi saya tak tahu fasal industri hiburan. Dapat tahu dia artis pun selepas enam bulan berkawan. Itu pun di carian internet selepas seorang kawan di Malaysia kenal nama Datuk Fazley dan menyuruh saya taip namanya di Google," ujar Azrene diiringi ketawa. Menceritakan detik pertemuan yang mengikat hati kedua-duanya, Azrene berkata, sebenarnya rancangan menonton konsert tersebut tidak ada dalam jadualnya yang padat. Namun, oleh sebab lokasinya berhampiran dengan firma guaman, diasak dengan kehadiran rakan-rakan yang mahu menonton konsert tersebut atas alasan semangat patriotisme, maka dia menyertainya. "Masa tunggu rakan lain sampai saya berdiri di tepi dinding Royal Albert Hall kerana kebetulan saya sampai awal. Tiba-tiba ada lelaki rambut panjang lalu depan saya. Perkara pertama terlintas di fikiran saya masa tu, amboi wanginya mamat ni. Masa tu saya tidak kenal siapa. Dia sebagai penyanyi pun saya tidak tahu. "Dalam dewan konsert saya perasan dia pandang-pandang. Tapi kami tidak berkenalan sehingga diperkenalkan oleh orang lain. Itu pun dia kata dia pelajar dari Malaysia yang berulang alik ke sini untuk uruskan konsert tersebut. Dalam perbualan, saya terkejut yang dia sudah banyak kali mengulang alik ke London tetapi tidak pernah meluangkan masa berjalan di London. "Saya cadangkan dia rehat seketika sebelum pulang ke Malaysia supaya sekurang-kurangnya dia boleh membawa keluarganya sight seing di London sebelum balik Malaysia. Awalnya, dia beri alasan dah tempah tiket balik, tapi keesokan harinya dia telefon dan beritahu sudah tukar jadual penerbangan dan meminta saya luangkan sedikit masa untuk keluar dengannya. Di situlah bermulanya perkenalan kami," katanya. Selama berada jauh di bumi orang, tidak sekali pun terdetik di hati Azrene untuk kembali bermastautin di Malaysia ekoran kerjayanya yang semakin berkembang di sana. Azrene lebih senang menabur bakti di bidang guaman yang dipilihnya. Namun, sejak kehadiran insan tersayang membuka mata wanita ini untuk menjejakkan kaki ke Malaysia setelah meninggalkannya selama 11 tahun, sekali gus berhasrat tinggal di sini membina keluarga sendiri. Perkahwinan yang dibina pada November 2006 dikurniakan tiga cahaya mata lelaki, Ahmad Fariedz , (Payish) 6; Ahmad Fieradz (Piyash) 5; dan Ahmad Fierudz (Piyush) 3. Pengalaman bekerja di bidang korporat dan antarabangsa tidak menyukarkan Azrene membawa diri sekembalinya di tanah air. Ibu tiga anak ini juga tidak kekok menukar haluan dari bidang guaman kepada bidang imej dan latihan korporat. Pilihan ini ternyata menjanjikan kepuasan buat diri Azrene. Dia memulakan langkah menjadi speaker bagi latihan korporat, etiket, protokol dan komunikasi berkesan. "Saya telah puas merantau jauh di negara orang membina kehidupan tanpa penghuni hati. Saya miliki segala-galanya namun belum lagi berteman hidup. Berkawan ramai tapi tiada yang mampu membuka hati untuk berkahwin dan kembali ke Malaysia. Hanya dengan suami, saya terbuka untuk balik ke sini. "Suami membimbing saya ke arah kebaikan dan benar-benar menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab. Dia memenuhi kriteria yang saya cari. Alhamdulillah, kehidupan selepas berhijrah menjadikan saya seorang yang lebih dekat dengan-Nya. Bersama suami, saya berhijrah dari segenap segi. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang," imbaunya. Selain membantu mengendalikan syarikat produksi bersama suami tersayang, Azrene turut menubuhkan syarikat yang mengendalikan kursus korporat peningkatan imej, etiket, protokol dan komunikasi berkesan untuk bakal graduan dan syarikat- syarikat korporat, kerajaan dan agensi-agensi kerajaan di bawah naungan Imago Consultancy & Training. Azrene bertanggungjawab menyelaraskan kelayakan yang sepatutnya ada kepada seorang perunding imej yang bertauliah dan profesional. Umumnya, beliau bertindak sebagai panelis bagi membangunkan suatu standard kepada bidang pekerjaan sebagai Perunding Imej sebelum seseorang itu boleh bergelar perunding imej bertauliah dan profesional. dia juga telah ditauliahkan dengan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dalam bidang Perunding Imej dan juga sebuah lagi Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia sebagai Vokasional Training Manager Azrene merupakan ahli bertauliah profesional (AICI FLC) dan dilantik sebagai Timbalan Presiden Komunikasi kepada Association of Image Consultants International (AICI) - sebuah pertubuhan perunding imej antarabangsa yang berkaliber dan dianggotai oleh perunding imej profesional seluruh dunia pada 2012 dan baru sahaja menamatkan tanggungjawabnya pada Julai 2014. Selain itu, Azrene turut dilantik sebagai Setiausaha kepada Federation of Image Professionals International United Kingdom (Persatuan Perunding Imej Professional Antarabangsa), cawangan Malaysia setelah sekumpulan daripada perunding imej bertauliah Malaysia dilamar oleh persatuan tersebut. Sebagai seorang Perunding Imej bertauliah, beliau memberikan khidmat rundingan yang menekankan aspek pembangunan penampilan, etiket dan komunikasi kepada syarikat-syarikat korporat serta swasta, rangkaian hotel, kerajaan dan agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi, di dalam dan di luar negara serta individu- individu yang ingin memperbaiki penampilan diri dari segi personal mahupun profesional. Azrene juga telah diberikan kepercayaan untuk mengendalikan sebuah cawangan yang melatih dan mentauliahkan bakal perunding imej dengan sijil pentauliahan yang diiktiraf dari luar negara dan industri perunding imej melalui AICI melalui kolaborasi bersama guru dan mentornya, Ferial Youakim dibawah naungan ByFerial, Australia. Jika ditelusuri, meski pun menukar kerjaya dari bidang perundangan ke bidang perundingan imej dan korporat, modus operandi wanita ini masih sama; iaitu membantu masyarakat. Jika dahulu beliau banyak membantu pelarian dan banduan dari sudut kerakyatan dan pemastautin, kini beliau membantu masyarakat dari sudut lain pula. Berdasarkan pengalaman beliau sebagai bekas graduan, ternyata proses untuk mendapatkan pekerjaan begitu sulit meski pun memiliki ijazah tinggi dalam dan dari luar negara. Persaingan di bidang pekerjaan begitu sengit lantaran majikan mempunyai pilihan berkualiti. "Pelbagai aspek perlu ditekankan setiap graduan sebagai usaha dan langkah menjadi seorang graduan yang dipandang oleh organisasi. Justeru, graduan perlu bijak menampilkan imej diri supaya dilihat berkelayakan dan berdaya saing di dunia pekerjaan. "Dulu saya berharap sangat ada orang ajar saya cara berpenampilan, cara menjadi calon yang bagus semasa temu duga dan banyak lagi perkara yang diperlukan setiap kali pergi temu duga kerja. Tapi tak ada siapa yang ajar saya ketika itu kerana memang tiada servis seperti ini ditawarkan. Bukan senang nak penuhi kriteria yang dikehendaki sesebuah organisasi lebih-lebih lagi organisasi terkenal dan kukuh. "Perkara ini amat diperlukan pada masa kini. Ramai graduan ada sijil tapi tidak ada kelayakan dan kriteria yang memenuhi hati majikan. Soft skill inilah yang diperlukan untuk memperlihatkan diri mereka lebih bagus dan menonjol daripada orang lain. Apabila saya melihat dengan mata sendiri dan mendengar tentang perubahan ataupun kejayaan setiap klien mahupun anak murid saya, ia adalah satu kepuasan yang tidak ternilai. Saya tidak akan berjaya jika mereka tidak berjaya walaupun sebesar sebutir habuk," katanya. Berkongsi kebahagiaan bergelar ibu yang menguruskan sendiri rumah tangganya, Azrene secara bercanda menjawab "Saya berbangga menjadi mastershef suami!". Ketika itu, Datuk Fazley sempat mencelah dengan mengakui sebenarnya dia lebih suka menikmati masakan Azrene Menariknya mengenai keluarga bahagia ini, Azrene lebih senang menguruskan keluarga dan anak-anaknya sendiri tanpa dibantu orang gaji. Mereka hanya mengambil orang gaji selepas mendapat anak ketiga. Begitu pun tugas orang gaji tidak meliputi tugasan memasak sebaliknya hanya membantu menjaga anak dan mengemas rumah. "Saya tetap masterchef di rumah kerana suami lebih gemar makan air tangan saya. Bagi saya sendiri pun, memasak untuk suami dan anak-anak lebih membahagiakan berbanding makan di luar, atau membiarkan orang gaji masak. Mungkin itu yang mengikat kasih sayang kami sehingga kini." Katanya mengakhiri perbualan. |
You are subscribed to email updates from gosip artis malaysia - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
@
Tagged @ Artis Baru
Tagged @ ARTIS MALAYSIA
Tagged @ Artis Melayu
Tagged @ Artis Seksi
Tagged @ GOSIP ARTIS
Tagged @ GOSIP ARTIS MALAYSIA
0 comments:
Post a Comment - Kembali ke Post